Monday, October 13, 2008

Sabar Yakin Istiqamah

Terharu dan moga cerita si penjual tempe terpahat selamanya..

Kisah Penjual Tempe

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Disitu ada seorang perempuan tua yang
sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan
menjualnya di pasar setiap hari..

Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup.
Tempe yang dijualnya merupakan tempe
yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya,
tiba tiba dia tersedar yang tempenya
yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum
menjadi, separuh
jadi.Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya
beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya
tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam
suasana hatinya yang sedih, dia
yang memang kuat beribadah teringat
akan firman Allah yang menyatakan bahawa
Allah dapat melakukan
perkara-perkara ajaib, bahawa bagiNya tiada yang mustahil.
Lalu diapun mengangkat kedua
tangannya sambil berdoa , "Ya Allah , aku memohon kepadaMu
agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin"


Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa
Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan
tua itu menekan-nekan bungkusan
bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia
pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan
keajaiban kacang soya itu
menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih
tetap kacang soya.

Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah.
Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan
berdoa lagi. "Ya Allah, aku tahu bahawa
iada yang mustahil bagiMu.
Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata
pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin"

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu.

Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila
tempenya masih tetap begitu!!
Sementara itu hari pun semakin meninggi
sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang.
Dia tetap tidak
kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walaubagaimanapun kerana
keyakinannya
yg sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang
jualannya itu.

Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan
dan meneruskan pemergian ke pasar sambil
berdoa dengan harapan apabila
sampai di pasar kesemua tempenya akan masak.

Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar.
Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya

untuk berdoa. "Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku.
Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku,
jadikanlah tempe ini. Amin". Lalu dia pun
berangkat.
Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam
hatinya.

Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya.Hatinya
betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan
hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan
jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.

Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya.
Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika
lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit
kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan.

Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah
satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja
tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa
tiada orang yang akan
membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu
hari pun semakin petang dan
pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah
mula kurang.

Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka
sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi
kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang.
Namun jauh d i sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada
Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu
dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat
kali terakhir, "Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap
tempeku yang belum menjadi ini."

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita.

"Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum
menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih
belum berjumpa lagi." Dia termenung dan terpinga-pinga
seketika.
Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe,
tidak pernah seorang pun
pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi.


Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia
berdoa di dalam
hatinya"Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi
lagi.Biarlah tempe ini seperti semula, Amin".

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya.
Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar
tempenya masih belum menjadi!
Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur
pada Allah.
Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum
menjadi itu.

Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, "Mengapa hendak membeli tempe
yang belum jadi?"

Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe
dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan
ke England, si ibu tadi kenalah
membeli tempe yang belum jadi lagi supaya
apabila sampai di England nanti akan menjadi t
empe yang sempurna. Kalau
dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah
tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan...

Moral:

Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu berdoa,
padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan
apa yang terbaik untuk diri kita.

Kedua:. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hambaNya yang lemah.
Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang
dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan
doa kita sesuai
dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.

Ketiga : Tiada yang mustahil bagi Tuhan

Keempat : Kita sering ingin Allah memenuhi hak kita sedang kita tidak pernah mahu/lalai memenuhi hak Allah seperti menjaga SEMBAHYANG 5 WAKTU ,menyegerakan solat, berkata-kata perkara yang berfaedah dan berpesan ke arah kebaikan..

Terkesan sungguh! disaat seakan rasanya putus harapan..Subhanallah...disaat aku merasa kegelapan apa yg dirancang tidak menjadi..kau masih Mengasihiku dgn cerita ini..Sesungguhnya Kau Maha Mengetahui..

No comments: